Memaparkan catatan dengan label agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label agama. Papar semua catatan

13 Julai 2009

Kebijaksanaan Dalam Berpengetahuan

Kebijaksanaan adalah salah satu daripada hikmah.
Pengetahuan adalah salah satu daripada natijah.
Tanpa kedua-duanya maka pincanglah neraca fikrah.
Disukat dengan pandangan makrifah.

[Belum tentu apa yang Engkau Pandang Baik maka ia Baik Bagi Allah. Tidak semestinya apa yang Engkau Pandang Buruk adalah buruk bagi Allah]

Zulaikha memandang Yusuf dengan ghairah.
Yusuf menafikan nafsu dan kehendak Zulaikha kerana takutkan Allah.
Dari pandangan nafsu kekacakan Yusuf mesti dilangsaikan walau apa cara sekalipun.
Dari pandangan nubuwwah kehormatan diri adalah suatu yang mesti dipertahankan sekalipun menafikan kesedapan badaniah.
Kebijaksaan salah satu bahagian nubuwwah.

Dan lagi:
Seperti Khidir dengan Musa.
Musa membantah Khidir.
Sedangkan itu ada hikmah.
Ada makrifah.
Ada nubuwwah.
Ada laduniyyah.

Tanpa hikmah maka jadilah seperti Musa membantah Khidir atas perbuatan.

Hubungan dengan Allah manifestasi hikmah dan kebijaksanaan yang diwarisi kepada hambaNya yang beriman yang membawa keelokan hubungan dengan makhlukNya.

Namun hubungan itu berdasarkan pertimbangan-pertimbangan tertentu yang tidak boleh disesuaikan dengan rasa kemanusiaan dan kenafsuaan semata-mata tetapi atas tunjuk ajar Allah.

Saya masih mencari hikmah seperti Musa mencarinya di sisi Khidir.
Saya masih mencari akhlak seperti Yusuf menundukkan pandangan dan melarikan dirinya daripada Zulaikha.

Benih yang baik, kemana pun dicampak, menjadi pulau jua.Insya Allah.

14 Februari 2009

Ustaz yang menolak budaya sila jangan berbahasa

Aku masih teringat suatu ketika aku sedang beriktikaf di sebuah masjid, satu majlis ceramah agama diadakan. Aku berada di belakang masjid di belakang tiang memencilkan diri. Bukanlah aku mahu berlagak tetapi aku lebih selesa mengamalkan agama daripada bercerita tentang agama. Aku tidak mahu sekadar hanyut dalam retorik tetapi tenggelam dalam mengingatiNya. Itu lebih bermakna bagiku. Namun sesekali apa yang dicakapkan sang ustaz sampai juga ke telingaku. Tiba disuatu ketika, aku terkejut mendengar kata sang ustaz tersebut. Katanya, budaya dan adat tiada dalam agama yang ada Islam sahaja. Tidak ada budaya Melayu atau adat Melayu. Tidak ditanya dalam kubur kamu budaya apa adat apa. Itulah kata-kata paling bangang yang sampi ketelingaku pada malam itu. Mahu saja aku mendapatkan ustaz yang bersemangat menarik perhatian jemaah yang sedang menanti bilakah solat Isyak akan didirikan lantaran sudah melewati waktu Isyak beberapa lama. Namun aku menyabarkan hati. Ia semacam ujian. Sang khannas. Aku yakin ustaz yang bercakap itu tidak memahami sepenuhnya apa yang dia cakap. Ustaz, kalau benarlah kamu menolak budaya maka kamu jangan pulang ke kampung berhari raya. Jangan makan lontong, nasi himpit, kuih semperit, kuih pelita, cakar ayam, tempoyak, sambal belacan, ketupat, nasi kerabu, nasi dagang, nasi minyak, jangan makan semua itu. Itu baru tentang makanan. Ustaz yang menolak budaya jangan tolong jangan cakap bahasa Melayu. Jangan juga memakai baju telok belanga, baju kurung. Jangan pakai songkok. Jangan bukak kasut bila masuk ke dalam rumah. Apa itu rumah kamu?Rumah Melayu itu sila robohkan. Ustaz yang menolak budaya tersebut mesti ternga-nga mulut. Maka sahihlah dia tidak memahami apa itu budaya dan kebudayaan. Allah kata'Aku jadikan kamu berbangsa-bangsa agar kamu saling kenal mengenali...'. pada ayat yang lain ....agar kami dapat melihat siapa yang lebih beramal soleh'. Budaya dan agama suatu yang tidak terpisah. Agama dari langit. Budaya daripada manusia. Apabila agama datang mencerahi hidup maka budaya diikut dalam panduan agama. Budaya tetap wujud. Jika kamu tidak faham juga, menolak budaya maka silalah jangan berkomunikasi dengan bahasa Melayu atau bahasa apapun dalam dunia ini. Jadilah binatang.