19 Mei 2009

Peribahasa Melayu


Ular biar mati, tanah jangan lekuk, buluh jangan pukah
Maksudnya:Menyelesaikan sesuatu perkara dengan adil dan saksama.

Umpama kambing kecil:merentak tidak memutus tali, berantuk tidak melembang bumi.
Maksudnya:Orang yang tidak dihiraukan kerana tidak berkuasa.

Pejatian awak, kepantangan orang.
Maksudnya:Kesukaaan awak, kebencian orang.

18 Mei 2009

Perang Jamal Akibat Fitnah Pembunuh Usman RA

Sekalipun aliran Syi`ah telah diharamkan di Malaysia, sebahagian daripada ajaran mereka masih tersebar luas. Di antaranya ialah berkenaan sejarah para sahabat, dimana banyak buku-buku tempatan yang memuatkan kisah tersebut berdasarkan versi Syi`ah. Sejarah versi Syi`ah mudah dikenali, ia bersifat pro kepada Ali bin Abi Thalib serta ahli keluarganya dan bersifat kontra kepada para sahabat yang lain. Kisah-kisah sejarah versi Syi`ah telah mendapat tempat yang kukuh dalam pemikiran umat Islam tanah air sejak di bangku sekolah sehingga dianggap ia adalah fakta yang benar.

Aisyah memberontak kepada Ali?

Antara sejarah versi Syi`ah yang masyhur adalah Perang Jamal merupakan pemberontakan yang diketuai oleh Aisyah ke atas Ali bin Thalib. Kenyataan ini memerlukan penelitian semula: Benarkah Perang Jamal adalah satu gerakan pemberontakan ke atas Ali yang diketuai oleh Aisyah?

Perang Jamal bermula apabila Aisyah, Thalhah dan al-Zubair radhiallahu ‘anhum serta orang-orang yang bersama mereka pergi ke Basrah selepas pengangkatan Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh menjadi khalifah umat Islam. Semua ini berlaku selepas pembunuhan Amirul Mukminin Usman bin Affan radhiallahu ‘anh. Melihatkan pemergian Aisyah dan pasukannya, Amirul Mukminin Ali turut pergi ke Basrah bersama pasukannya. Apabila menghampiri Basrah, kedua-dua pasukan ini telah bertembung dan dengan itu berlakulah satu peperangan yang dinamakan Perang Jamal. Ia dinamakan sedemikian kerana Aisyah berada di atas unta (Jamal) ketika peperangan tersebut.

Dalam peristiwa ini, timbul dua persoalan. Yang pertama, kenapakah Aisyah dan pasukannya bergerak ke Basrah? Al-Qadhi Ibn al-Arabi rahimahullah (543H) menerangkan bahawa orang ramai mengemukakan beberapa pendapat. Ada yang berkata mereka keluar kerana ingin melucutkan Ali daripada jawatan khalifah. Ada yang berkata mereka benci kepada Ali. Ada yang berkata mereka ingin mencari para pembunuh Usman. Ada yang berkata mereka keluar untuk menyatu-padukan semula umat Islam.
Di antara semua pendapat ini, yang benar adalah yang terakhir. Al-Qadhi Ibn al-Arabi menegaskan:
“Mungkin mereka keluar demi keseluruhan umat Islam, mengumpulkan dan menyatu-padukan mereka kepada undang-undang yang satu (Islam) agar tidak berlaku kebingungan yang akan mengakibatkan peperangan. Dan inilah pendapat yang benar, tidak yang lainnya.” [al-`Awashim min al-Qawashim fi Tahqiq Mawaqif al-Shahabah ba’da Wafati al-Nabi (diteliti oleh Muhib al-Din al-Khatib; Dar al-Jil, Beirut, 1994), ms. 155]
Sebelum itu hal yang sama ditegaskan oleh al-Imam Ibn Hazm rahimahullah (456H):

“Dan adapun (pemergian) Ummul Mukminin (Aisyah), al-Zubair dan Thalhah radhiallahu ‘anhum berserta orang-orang yang bersama mereka (ke Basrah), tidaklah mereka sedikit jua bertujuan membatalkan kekhalifahan Ali, mereka tidak mencabar jawatan tersebut, mereka tidak menyebut apa-apa kecacatan yang merendahkan beliau daripada jawatan tersebut, mereka tidak bertujuan mengangkat khalifah baru yang lain dan mereka tidak memperbaharui bai`ah kepada sesiapa yang lain. Ini adalah sesuatu yang tidak dapat diingkari oleh sesiapa jua dengan apa cara jua.

Kebenaran yang sebenar yang tidak memiliki apa-apa permasalahan padanya adalah mereka tidak pergi ke Basrah untuk memerangi Ali atau menentangnya atau mencabut bai`ah daripadanya ……yang benar mereka berangkat ke Basrah tidak lain untuk menutup (daripada berlakunya) perpecahan yang baru dalam Islam disebabkan peristiwa pembunuhan yang zalim ke atas Amirul Mukminin Usman radhiallahu ‘anh.” [al-Fishal fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal (diteliti oleh Ahmad Syams al-Din; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1996), jld. 3, ms. 83]
Berdasarkan penerangan di atas, jelas kepada kita bahawa dalam pemergiannya ke Basrah, Aisyah radhiallahu ‘anha tidak memiliki tujuan berperang atau memberontak terhadap Ali radhiallahu ‘anh. Ini membawa kita ke persoalan kedua, jika demikian kenapakah kedua-dua pasukan ini bertembung dan berperang?

Kenapakah berlakunya Perang Jamal?

Al-Imam Ibn Hazm melanjutkan, pasukan Ali turut ke Basrah bukan untuk memerangi pasukan Aisyah tetapi untuk bersatu dengan mereka, menguatkan mereka dan menyatukan umat Islam dalam menghadapi peristiwa pembunuhan Usman. [al-Fishal, jld. 3, ms. 83]

Akan tetapi pada waktu yang sama wujud juga orang-orang yang sebelum itu terlibat dalam pembunuhan Usman. Mereka menyamar diri dengan berselindung di kalangan umat Islam. Apabila melihat Aisyah dan pasukannya pergi ke Basrah, mereka menyalakan api fitnah kononnya pemergian tersebut adalah kerana perpecahan daripada kekhalifahan Ali.
Namun apabila para pembunuh Usman mendapat tahu bahawa pasukan Aisyah dan Ali telah bersatu, mereka menjadi bimbang lagi cemas. Ini kerana selagi mana umat Islam berpecah, selagi itulah para pembunuh Usman terselamat daripada apa-apa tindakan. Sebaliknya jika umat Islam bersatu, pasti kesatuan tersebut akan memudahkan tindakan diambil ke atas para pembunuh Usman.

Maka para pembunuh Usman merancang untuk melagakan kedua-dua pasukan tersebut. Pada awal pagi ketika hari masih gelap, mereka menyerang pasukan Aisyah. Dalam suasana terperanjat daripada tidur yang lena, pasukan Aisyah menyangka bahawa pasukan Ali telah berlaku khianat dan menyerang mereka. Sebagai tindakan mempertahankan diri sendiri (self defense), mereka menyerang balas ke atas pasukan Ali. Pasukan Ali pula menyangka pasukan Aisyah telah berlaku khianat dan menyerang mereka. Dengan itu mereka menyerang balas, juga sebagai tindakan mempertahankan diri sendiri. Tanpa disangka-sangka, bermulalah Perang Jamal sekali pun kedua-dua pihak pada asalnya tidak memiliki apa-apa tujuan berperang.

Al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah (774H) memperincikan detik-detik yang mengakibatkan bermulanya Perang Jamal:

“Orang-orangpun merasa tenang lagi lega …… pada waktu malamnya kedua-dua pihak bermalam dalam keadaan yang sebaik-baiknya. Akan tetapi para pembunuh Usman melalui malam tersebut dalam keadaan yang seburuk-buruknya. Mereka berbincang dan bersepakat untuk mengobarkan peperangan pada awal pagi esoknya. Mereka bangun sebelum terbit fajar, jumlah mereka menghampiri seribu orang. Masing-masing kelompok bergabung dengan pasukannya lalu menyerang mereka (pasukan Aisyah) dengan pedang. Setiap golongan bergegas menuju kaumnya untuk melindungi mereka. Orang-orang (pasukan Aisyah) bangun dari tidur dan terus mengangkat senjata. Mereka berkata: “Penduduk Kufah (pasukan Ali) menyerbu kita pada malam hari, mereka mengkhianati kita!”

Mereka (pasukan Aisyah) mengira bahawa para penyerang itu berasal dari pasukan Ali. Suasana hura hara tersebut sampai ke pengetahuan Ali, lalu beliau bertanya: “Apa yang terjadi kepada orang ramai?”
Mereka menjawab: “Penduduk Basrah (pasukan Aisyah) menyerang kita!”

Maka kedua-dua pihak mengangkat senjata masing-masing, mengenakan baju perang dan menaiki kuda masing-masing. Tidak ada seorang jua yang menyedari apa yang sebenarnya terjadi.” [al-Bidayah wa al-Nihayah (diteliti oleh Ahmad `Abd al-Wahhab; Dar al-Hadith, Kaherah, 1997), jld. 7, ms. 227]

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) meringkaskan detik-detik ini dalam satu perenggan:

“Mereka (para pembunuh Usman) menyerang khemah Thalhah dan al-Zubair. Lalu Thalhah dan al-Zubair menyangka bahawa Ali telah menyerang mereka, maka mereka menyerang kembali untuk mempertahankan diri (self defense). Seterusnya Ali pula menyangka bahawa mereka (Thalhah dan al-Zubair) menyerangnya, maka Ali menyerang kembali untuk mempertahankan diri. Maka berlakulah fitnah (peperangan) tanpa ia menjadi pilihan mereka (kedua-dua pihak).

Manakala Aisyah radhiallahu ‘anha hanya berada di atas pelana untanya, beliau tidak menyerang dan tidak memerintahkan serangan. Demikianlah yang diterangkan oleh tidak seorang daripada para ilmuan dalam bidang sejarah (Ahl al-Ma’rifat bi al-Akhbar).” [Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi`ah wa al-Qadariyyah (diteliti oleh M. Rasyad Salim; Muassasah Qurtubiyyah, 1986), jld. 4, ms. 317]

Demikianlah penjelasan para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah berkenaan Perang Jamal. Kembali kepada persoalan asal pada permulaan artikel ini: Benarkah Perang Jamal adalah satu gerakan pemberontakan ke atas Ali yang diketuai oleh Aisyah? Penjelasan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menjadi jawapan kepada persoalan asas ini, sekali gus sebagai penutup kepada artikel ini:

“Sesungguhnya Aisyah tidak diperangi dan tidak pergi untuk berperang. Sesungguhnya beliau pergi hanya untuk kebaikan umat Islam. Beliau menjangkakan pada pemergiannya terdapat kemaslahatan kepada umat Islam. Kemudian sesudah itu jelas baginya bahawa meninggalkan pemergian tersebut adalah lebih tepat. Maka setelah itu apabila sahaja beliau mengingat kembali pemergiannya itu, beliau menangis sehingga membasahi kain tudungnya.” [Minhaj al-Sunnah, jld. 4, ms. 316]

Doa Saidina Ali RA

“Ya Allah! Aku berlepas diri tentang darah Usman!"

"Ya Allah! Aku tidak membunuhnya, dan tidak pula membantu membunuhnya!"

"Ya Allah! Laknatkanlah orang yang membunuh Usman!”

Peribahasa Melayu

Biarpun kucing naik haji, pulangnya mengeong juga.

Maksudnya:Pembawaan yang tidak dapat diubah.

Biar mati seperti kutu jangan mati seperti tuma.

Maksudnya:Mati di temat yang mulia kerana membuat kebaikan lebih baik daripada mati di tempat hina kerana membuat kejahatan.

Tinggi kerana ada yang rendah.

Maksudnya:Tiap-tiap sesuatu mesti ada yang berlawanan untuk dapat membezakannya.

16 Mei 2009

Peribahasa Melayu

Sepuluh kali ukur, sekali kerat
Maksudnya:Berfikir masak-masak sebelum berbuat sesuatu.
Laut tidak membuang sungai, rimba tidak membuang latah
Maksudnya:Orang besar yang baik dan murah hati tidak menolak permintaan atau pertolongan yang diminta daripadanya.
Leka sentiasa di lipatan sanggul. Fikiran singkat akal pun tumpul
Maksudnya:Gilakan seoranf perempuan sehingga lupa pada makan dan minum.
*Peribahasa Melayu yang kita tidak ketahui masih amat banyak dan perkataan-perkatannya menggambarkan pandangan dunia orang Melayu atau budaya serta persekitaran hidup orang Melayu.
*Jadi saya kurang bersetuju kalau kita perlu mencipta peribahasa sendiri melainkan kita memang seorang Melayu yang faham sepenuh-penuhnya pandangan dunia dan budaya Melayu.
*Ada Melayu yang tidak mengenali bangsanya sendiri.;)

15 Mei 2009

Kita hanya menunggu untuk dijangkiti sahaja

Kes Influenza A (H1N1) Pertama Malaysia: Rakyat Dinasihat Tidak Panik

PUTRAJAYA, 15 Mei (Bernama) -- Rakyat Malaysia dinasihat tidak panik setelah kes pertama Influenza A (H1N1) dikesan di negara ini melibatkan seorang pelajar lelaki berumur 21 tahun yang baru pulang dari Amerika Syarikat, Rabu lepas.

Pemangku Menteri Kesihatan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata kementerian telahpun mengambil langkah berjaga-jaga termasuk dengan melakukan kuarantin rumah bagi kesemua lima anggota keluarga pesakit itu, walaupun tiada antara mereka yang menunjukkan sebarang simptom setakat ini.

Beliau berkata mereka yang mempunyai kontak secara terus dengan pesakit itu termasuk kakitangan hospital yang memeriksanya turut diletakkan di bawah pemerhatian.

Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Penerbangan Malaysia (MAS) juga sedang menghubungi penumpang-penumpang dalam penerbangan tersebut untuk diperiksa, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat 199 penumpang dan krew dalam penerbangan tersebut tetapi tidak semua penumpang terbabit berada di negara ini memandangkan ia merupakan penerbangan transit.

Kong, yang merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan memangku jawatan tersebut kerana Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai Liow sedang dalam perjalanan ke Geneva, Switzerland, untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ditanya mengapa virus itu tidak dapat dikesan ketika pemeriksaan dibuat di lapangan terbang sebaliknya hanya dapat dikesan selepas dua hari apabila pelajar itu dimasukkan ke hospital, Kong berkata ia kerana virus itu tidak menyebabkan demam serta-merta.

-- BERNAMA
*Kerajaan mesti MEWAJIBKAN semua penumpang tersebut HADIR ke HOSPITAL sesegera yang mungkin untuk pemeriksaan bukannya sekadar MENYERU sahaja atau setakat MENGHUBUNGI sahaja.
*Masalah ini membabitkan masalah kesihatan umum dan nyawa semua orang jadi ia mestilah ditangani di peringkat maksimum.
*Kita mesti KESAN penumpang tersebut bermula dari KLIA sehingga ke mana mereka pergi. Antaranya KL Sentral yang menjadi transit manusia ribuan sehari itu.
*Dan kemungkinan tempat lain juga.
*Kita hanya menunggu dijangkiti sahaja jika tidak mengabaikan langkah maksimum ini.

Hati-hati Dengan Syiah Di Malaysia