30 Oktober 2008

Laparaskopik Rawat Hulu Hati

Ramai yang mengalaminya. Makan ubat pun tak sembuh jugak kerana ia sering berulang-ulang. Rencana dibawah mungkin membantu.

____________________________________________

PROSEDUR laparaskopik hanya meninggalkan kesan parut yang kecil.
Oleh NAJIBAH HASSAN

RAMAI yang bertanya, apakah perlunya masalah pedih hulu hati dirawat meskipun ia tidak mengancam nyawa?

Jawapannya ialah penyakit ini boleh menjejaskan kualiti hidup penghidapnya.
Selain komplikasi, gejalanya sudah memadai menyebabkan penghidapnya berasa tidak selesa.
Pakar Perunding Bedah Gastroenterologi dan Laparaskopik, Pusat Perubatan Pantai, Dr. Fahmi A. Karim berkata pada peringkat awal, dalam menangani masalah ini doktor akan menasihatkan pesakit supaya mengubah cara hidup yang lebih sihat.

Ini termasuklah mengubah jenis makanan yang dimakan seperti mengurangkan makanan pedas atau berminyak.

``Bagi yang obes, pesakit dinasihatkan supaya menurunkan berat badan, kurang merokok, mengurangkan meminum minuman keras, mengurangkan makan sebelum tidur, melakukan senaman lebih kerap dan sebagainya,'' katanya.


Pedih hulu hati atau juga dikenali sebagai gastroesophageal reflux disease (GERD) merupakan satu keadaan di mana asid dalam perut naik ke saluran pemakanan (esofagus).

Ia merupakan penyakit yang sering ditemui. Di Britain, dianggarkan 30 peratus penduduknya menghadapi masalah ini.

Meskipun GERD tidak sepopular seperti penyakit kanser, jantung, diabetes dan sebagainya namun prevalens penyakit ini menunjukkan peningkatan.

Jika dibandingkan dalam tempoh 10 tahun yang lalu, pada hari ini GERD mencatatkan peningkatan sehingga 10 peratus.

``Jika dibandingkan dengan 10 tahun lalu, kes-kes GERD dianggarkan sekitar 2 hingga 3 peratus sahaja,'' ujarnya.

Sekiranya gejala penyakit ini masih ada setelah pesakit melakukan perubahan gaya hidup, mereka memerlukan rawatan ubat-ubatan.

Ubat-ubatan ini bagi membantu meneutralkan asid perut dan jumlah asid yang dihasilkan.

``Ada ketikanya, asid yang naik ke perut ini mengandungi bahan-bahan dari pundi hempedu.
``Peranan ubat-ubatan ini bertujuan mengekang masalah ini daripada berterusan,'' katanya.

Meskipun, ubat-ubatan ini dapat membantu, masih ada pesakit yang enggan bergantung kepada ubat-ubatan secara berterusan.

``Rawatan ubat-ubatan ini selain mengambil masa yang agak lama, kosnya juga agak tinggi,'' jelasnya.

Seandainya, kedua-dua pendekatan ini masih tidak membuahkan sebarang hasil mereka mempunyai alternatif lain iaitu menjalani pembedahan.

Pembedahan yang dikenali sebagai laparascopic anti-reflux surgery ini tidak memerlukan torehan luka yang besar pada kulit.

Ia hanya menggunakan sejenis alat yang dimasukkan ke dalam abdomen melalui lubang halus yang kecil.

Kaedah ini membetulkan keabnormalan otot-otot sfinkter dan krura diafram. Otot-otot yang longgar ini dijahit. Satu injap baru di simpang perut dan esofagus dibuat.

Melalui kaedah ini, asid tidak akan masuk semula ke dalam esofagus. Ia juga dapat mengetatkan bahagian bawah esofagus yang longgar.

Menurut Dr. Fahmi, kaedah yang masih baru diperkenalkan ini dapat mencegah berulangnya pembalikan asid ke dalam esofagus.

Kaedah yang dipelopori dari United Kingdom ini telah diperkenalkan sejak enam tahun lalu di beberapa buah negara di Eropah. Prosedur seumpama ini giat dijalankan di Britain, Belgium, Jerman, Amerika Syarikat, Australia dan lain-lain.

``Selain tidak membabitkan luka yang besar, pesakit juga boleh pulang ke rumah dalam masa antara dua hingga tiga hari selepas menjalani prosedur ini,'' katanya.

Pedih hulu hati tidak memilih mangsa. Sama ada kanak-kanak, lelaki mahupun wanita muda atau yang berusia tidak terkecuali menghadapi masalah ini.

Apabila kita makan, makanan yang dikunyah akan masuk ke dalam perut melalui satu tiub yang dikenali sebagai esofagus.

Pada bahagian hujung esofagus, terdapat gelang otot-otot kecil iaitu sfinkter (Lower Esophageal Sphincter - LES).

LES bertindak sebagai injap sehala yang membolehkan makanan masuk ke dalam perut.
Biasanya, LES akan tertutup secara automatik sebaik selepas kita menelan. Ini bagi mengelakkan asid perut yang mengandungi asid yang banyak naik ke atas.

Bagaimanapun, sekiranya LES ini tidak dapat berfungsi dengan baik, asid ini akan masuk semula dan membakar bahagian bawah esofagus.

Keadaan ini boleh menimbulkan rasa pedih dan radang pada esofagus. Sekali gus, ia menyebabkan pedih hulu hati dan lama-kelamaan ia merosakkan esofagus.

Selain pedih hulu hati, pesakit biasanya mengadu sendawa berlebihan.

Kesakitan yang amat teruk ini boleh menyebabkan penghidapnya tidak boleh tidur.

Bagaimanapun, hanya segelintir sahaja penghidap pedih hulu hati mengalami gejalanya. Ada kalanya, menyerupai serangan jantung.

Keadaan seperti ini menyebabkan masalah yang dialami didiagnos dengan penyakit lain. Antaranya, serangan jantung, peptik ulser, asma, bronkitis, peptik ulser dan sebagainya.

Punca GERD

Banyak faktor yang dikaitkan dengan GERD. Ia dikatakan mempunyai kaitan dengan faktor fisiologi dan anatomi seperti:
* Angin pasang (Hernia)
* Sfinkter tidak berfungsi dengan baik (Defective LES
function)
* Asid dalam perut naik ke atas (delayed gastric
emptying)
* Masalah pengaliran air liur (abnormal oesophageal
motility)
* Kekurangan mukosa dalam esofagus (Defective
mucus).

Selain itu mereka yang menghadapi masalah obesiti atau wanita hamil.
Biasanya wanita hamil mengalami pedih hulu hati pada awal atau semasa tempoh kehamilan.
Ini kerana semasa hamil, terdapat tekanan pada organ-organ dalaman tubuh yang menolak bahagian tersebut.

Pada masa yang sama, peningkatan hormon estrogen meningkatkan risiko pedih hulu hati kerana ia mengurangkan tona otot-otot khas.

Terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk mendiagnos GERD:
* Sejarah pesakit
* Pemeriksaan endoskopik
* Barium meal
* Kajian asid 24 jam pH.

Diagnosa GERD

Biasanya, dianggarkan 60 hingga 65 peratus pesakit GERD yang menjalani ujian endoskopik tidak menunjukkan sebarang bukti mereka mengalami radang. Keadaan ini dikenali sebagai Non Oesophagitis Reflux Disease (NERD).

Diagnosa pesakit biasanya meliputi tiga kategori iaitu:
* Tiada hakisan
* Radang pada saluran esofagus (esofagitis)
* Pesakit yang mempunyai komplikasi seperti ulser, fibrosa dan kanser esofagus sebanyak 5 hingga 15 peratus.

Sebahagian besar pesakit dikesan tidak mengalami esofagitis, tetapi ada angin pasang hiatus.
Bagaimanapun, jika pesakit tidak mengalami radang, ini tidak bermakna mereka bebas daripada masalah.

Individu yang layak menjalani prosedur ini
* Pesakit yang tidak boleh menerima ubat-ubatan
* Pesakit yang telah mengamalkan ubat-ubatan
dalam jangka masa lama
* Pesakit yang mengalami gejala yang berulang-
ulang
* Pesakit yang telah mempunyai komplikasi seperti
Barret's Esofagus dan lain-lain.
Komplikasi
Sekiranya pedih hulu hati ini dibiarkan tanpa rawatan, ia akan menyebabkan:
* Sukar makan
* Ulser esofagus
* Ketumbuhan pada bahagian bawah hujung
esofagus (Lower End Esofagus).

Esofagus yang terdedah dengan asid dalam jangka masa lama boleh mengakibatkan perubahan.
Perubahan yang dikenali sebagai Barret's Esofagus. Ini adalah satu keadaan di mana kulit dalam saluran makanan bertukar dari skuamos ke kolumnar. Keadaan ini jika dibiarkan berlanjutan boleh menyebabkan ia menjadi kanser pada peringkat awal.
Dengan rawatan pembedahan, refluk asid boleh dikawal supaya komplikasi GERD boleh dielakkan.

Panduan
Penghidap hulu hati pada peringkat awal perlu membuat perubahan gaya hidup seperti:
* Cara pemakanan yang teratur
* Bijak menangani tekanan
* Banyak melakukan senaman.
- Alamat e-mel Kesihatan Mingguan

ialah kesihatan@utusan.com.m

Berbagai Keistimewaan Yang Keluar drp Nur, Matahati dan Hati Org2 Makrifat

Berkata Ibnu Athaillah al-Iskandari:

"Nur itu adalah dapat membukakan rahsia-rahsia kasyaf, dan mata hati itu pula boleh menyingkap hikmah-hikmah dan hati itu pula mampu mengadap dan membatalkan"

1. Apabila Nur Ilahi dilimpahkan ke dalam hati, bererti Allah telah melimpahkan hati kita dgn ilmu ladunni yakni ilmu yang terus dari sisi Allah. Dgn demikian terbukalah kepada kita pengertian-pengertian yang halus dan tersembunyi dari makhluk Allah. Misalnya apabila ilmu itu telah dilimpahkan oleh Allah dalam dada kita maka terbukalah hati kita untuk melihat hal-hal bersifat taat dan ketaatan kepada Allah.

Selian itu terbukalah hati kita dalam menentapkan kekejiand an keburukan bagi segala macam maksiat dan kederhakaan. Pendek kata hati kita selalu tepat melihat dan menetapkan sesuatu pada hakikatnya. Sesuatu bersifat taat kita tetap melihatnya sebagai kebaikan manakala sesuatu bersifat maksiat tetap kita melihatnya sebagai keji.

Demikianlah apabila Allah telah melimpahkan Nur Nya yakni ilmu ladunni dalam hati kita.

1."Al-Bashiirah" bermaksud penglihatan hati atau matahati. Apabila hati kita tidka buta dan celik atau bashiirah maka teranglah sesuatu yang dilihatnya dna ia adalah benar maka baharulah matahati dapat melihat hikmah-hikmah segala sesuatu.

Matahati juga dapat melihat hikmah-hikmah dan hakikat segala sesuatu, jika hati kita mendapat cahaya Anwar yakni cahaya-cahaya keTuhanan berupa ilmu-ilmu secara langsung dilimpahkan oleh Allah ke dalam hati, apabila hati dapat melihat kebaikan sesuatu, maka mengadaplah hati kepadaNya dan diperintahkanlah anggota-anggota zahirnya untuk melaksanakannya.

Namun jika sebaliknya hatinya akan membelakanginya yakni tidak mengamalkannya. Maka patuhlah semua anggota zahir menurut kata hati.

Hal ini boleh terjadi jika penglihatan matahati itu benar dan tepat disebabkan Al-Anwar telah memenuhi hati dengan sempurna walaupun kesempurnaannya bersifat relatif, melihat kepada tinggi rendah martabat seeorang menurut penilaian Allah. Tentulah dalam keadaan ini akan berbeza Al Anwar dalam hati para Nabi, Al Anwar dalam hati para sahabat, Al Anwar dalam hati para muslim biasa seperti kita.

Jika Al Anwar tidka ada di hati atau masih kurang maka kesan kepada penglihatan matahati selalunya tidka betul dan tidak tepat kerana hatinya mengadap sesuatu yang hakikatnya tidka baik dan membelakangi sesuatu pada hakikatnya adalah baik. Hati kala itu laksana orang buta yang teraba-raba.

3. Hati yang dipenuhi dgn Al Anwar penglihatan matahatinya waktu itu adalah tepat maka timbullah keyakinan dalam berbagai-bagai peringkat sesuai dgn nur mengikut ukuran kesempurnaan yang dilimpahkan Allah Ta'ala dalam hatinya. Hal ini sepertimana Firman Allah dalam Surah Az-Zumar Ayat 22:

Apakah orang yang dibukakan Allah hatinya menerima tuntutan Islam maka orang itu mendapat cahaya tuhanNya. Nasib malang bagi orang yang kasar hatinya untuk mengingati Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.

Surah Al-An am Ayat 125-127

"Maka barangsiapa yang hendak diberi petunjuk oleh Allah, nescaya dibukakanNya hati orang itu terhadap Islam. Dan barangsiapa yang hendak disesatkan Allah maka dijadikan dadanya sesak dan sempit seperti orang yang mahu naik ke langit. Begitulah Allah menetapkan kekejian kepada orang yang derhaka. Dan inilah jalan Tuhanmu yakni Islam yang betul dan lurus. Sesungguhnya kami telah menjelaskan ayat-ayat keterangan kami satu persatu bagi kaum yang mahu beringat insaf. Bagi merekalah Syurga Darus Salam yang aman sejehtera di sisi Allah dan Dialah Penolong mereka, disebabkan amal-amal yang baik yang mereka lakukan."

Antara Nur dan Kegelapan

Ibnu Athailah al-Iskandari telah berkata dalam Kalam Hikmahnya:

"Nur itu ialah tentera hati, sebagaimana kegelapan itu menjadi tentera nafsu. Maka apabila Allah mengkehendaki menolong hambaNya, nescaya Allah akan memberikan bantuan kepadanya dengan tentera-tentera nur dan Allah memutuskan daripadanya bala bantuan kegelapan."

Jika hati kita bersinar dgn cahaya ketauhidan dan keyakinan, yakni Allah memantapkan hati kita dgn tauhid dan keyakinan yang kuat, maka cahaya yang demikian akan menyampaikan maksud kita iaitu dekat kepada Allah Ta'ala.

Nur merupakan tentera yang dapat menyampaikan hati kepada Allah Ta'ala.

Kegelapan pula dapat menyampaikan nafsu ammarah kepada maksudnya iaitu segala macam syahwah dan segala maksud dunia yang hinda dina.

Peperangan antara hati dan nafsu selalu bergelojak setiap detik. Kadang dalam peperangan itu yang menangadalah HATI. Kadang-kadang yang menang adalah nafsu.

Apabila Allah berkehendak menolong hambanya daripada serbuan nafsu maka Allah pasti membantu hatinya atau memenangkan hatinya ke aatas nafsu selain dengan segala kekuatan akal.

Tentera itu dalam bentuk Nur Allah. Atau dgn kata lain Allah akan memantapkan yakin dan ketauhidan kita sehingga memutuskan bekalan bantuan tentera nafsu.

Apabila Allah berkehendak sebaliknya, Allah akan memperkuatkan kedudukan nafsu dan tidak dimantapkan kedudukan tauhid dan yakin kita .

Tanda hati mendapat bantuan Allah berupa Nur tersebut ialah cenderung melakukan suatu perintah dgn bersungguh-sungguh walau terasa pahit melaksanakan di dunia fana ini kita menyakini akan mendapat balasan yang membahagikan di akhirat nanti.

Sebaliknya jika Allah tidak memberikan bantuan, pasti kedudukan hati itu lemah dan kedudukan nafsu menjadi kuat sehinggakan cenderung melakukan kejahatan dan maksiat dan terasa lazat pula dilakukannya.

Rumusannya Hati tidak smapai kepada maksudnya yakni dekat kepada ALlah jika tidak dibantu tenteranya iaitu nur maka demikian pulanafsu dalam diri akan sampai kepada maksudnya iaitu mendapat kepuasan syahwat diluar batasan agama, jika tentera kegelapan itu bermaharajalela.

Kadangkala berlaku pertempuran yang seru antara hati dan nafsu dan tatkala itu jgnlah panik sebaliknyakembali mengingati Allah dan menutup semua jalan kearah perlaksanaan nafsu tersebut sebelum datangnya pertolongan Allah dgn berdoa dan bertawakal kepadanya.

Nur Ilahi Ibarat Satu Jambatan Bagi Hati Menuju Allah SWT

Al-Imam Athailah Al-Iskandari telah menggambarkan dalam Kalam Hikmahnya iaitu:

"Nur-nur itu adalah kenderaan-kenderaan hati dan rahsia."

Keterangan: Nur Allah itu merupakan ilmu yang diperolehi secara langsung daripada Allah SWT di mana ilmu tersebut menjadi lapanglah dada dan bersinarlah hati seseorang, yakni dapat melihat sesuatu yang benar itu benar, dan salah itu salah. Ini bertepatan dengan doa Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

Ya Allah tunjukilah bagiku jalan kebenaranMu, dan berilah aku kekuatan untuk mengikutinya dan tunjukilah daku jalan yang bathil dan berilah daku kekuatan untuk mengelakkannya.

Zikrullah menjadi asbab dikurniakan Nur Allah. Menjauhi syahwat juga demikian. Apabila Nur Allah telah dilimpahkan ke dalam hati maka Nur Allah itu merupakan jalan atau kenderaan untuk sampai hati kita kepada tujuannya iaitu ke hadirat Allah yakni benar-benar kita melihat kebesaran dan keagungannya dgn mata hati sehingga hati itu merdeka daripada belenggu syahwat dan godaan-godaan lainnya.

Imam Al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin Jilid Ke-3 menukilkan:

"Hendaklah dimaklumi bahawasanya tempat itu adalah HATI. Aku maksudkan hati yang halus atau basirah. Hati itulah yang mengatur anggota-anggotanya. Dan dengan hati yang halus itu juga dapat dikecap segala hakikat laksana kaca dihadapkan kepada sesuatu itu ada bentuknya dan umpama bentuk itulah yang tertanggap dalam kaca itu."

22 Oktober 2008

MAKLUMAN

Adakah Melayu Peribumi?

Siapakah Melayu?

Apakah identiti Melayu?

BACAAN LANJUT DI BLOG http://malaysia-kita-punya.blogspot.com/ "MALAYSIA KITA" (BAHAGIAN KEDUA, KETIGA DAN SETERUSNYA AKAN MENYUSUL DALAM "MALAYSIA KITA" DARI SEMASA KE SEMASA). HARAP MAKLUM.